Pawang Pawagam
Posted by rotidua at 01:15 PM on February 18, 2006.
Hari ini, sudah hampir dua jam dia menghadap skrin hijau tanpa berjaya melihat walau sekali pun daun terup melompat lompat. Waima, sudah mula sedikit bosan. Matanya tak berkerdip mencari kunci kepada segala permasalahannya. Mungkin dengan mengalih tujuh kelawar ini kah? Atau empat lekuk?
Jam ditangan sudah menunjukkan pukul lapan malam, hatinya mula bungkal. Bilakah mereka ini hendak habis? Walaupun sudah faham bahawa sesebuah produksi boleh makan masa hingga berjam-jam, tetapi berapa banyak masakah hendak digunakan untuk menjalankan penggambaran untuk empat episod? Dicongak congak, sudah lebih enam jam mereka berada dalam studio. Ah, amatur.
Dikerlingnya sekeliling pejabat teknikal. Rak-rak tempat kamera dan peralatan lampu lain memenuhi dua dinding pudar. Pintu besar merangkap dinding ketiga masih tertutup rapat. Tiada tanda orang akan menguak dan mengatakan tugas mereka sudah habis untuk hari itu dan dia boleh mengunci studio. Untuk dibuka sekali lagi esok harinya. Pandangannya kembali beralih ke skrin hijau dihadapannya, diatas meja panjang rapat ke dinding keempat. Disitulah dia dan dua lagi pekerja teknikal akan duduk jika ianya hari bekerja. Dan disitulah dia duduk pada hari itu, hari yang diwartakan sebagai hari rehat.
Keluhan perlahan dilepaskan. Matanya mula mengerling ke laci teman sekerjanya. Neuron mula bertaut membuahkan imaginasi. Laci yang dijaga rapi, kerana akan menjadi tumpuan setiap pekerja disitu. Tiap kali terasa keinginan memuncak, laci itu akan dibuka. Laci Kawe Ganah. Hah, ironinya, kebanyakan lelaki yang akan mencangkung didepan laci tersebut, memilih salah satu dari racun pilihannya, tidaklah boleh digelar ganas pun. Jika mereka faham apa makna libido pun, lama sudah ianya lenyap bersama lanun lanun yang mereka lepaskan, berpusar tiap kali rantai ditarik.
Dengan kunci yang betul, laci tersebut menjanjikan pembawanya satu alam yang eksotik. Alam yang jarang dijejaki tetapi kini mula popular. Alam yang dijaga rapi oleh semua ibu bapa. Pantang anak mereka menjejaki tanpa pengesahan saksi saksi yang melaungkan bahawa mereka itu sah.
Tapi kali ini, keseorangan begini, dia mula ingin tahu. Adakah ianya akan memberi efek yang sama kepadanya seperti mereka? Adakah ia dapat menjanjikan kepuasan waima sementara? Adakah ianya akan menjanjikan dia kefahaman kepada segala senyuman meleret apabila jenaka bertukar ganti di kantin nanti?
Pawagam itu bukanlah ertikata pawagam yang sebenar. Cuma lebih kurang dua ratus punggung boleh berlabuh di kerusi kusam, menikmati filem filem digital yang cuba mengklasifikasikan diri mereka sebagai filem seni. Kebanyakannya seperti kupu kupu malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman sana, garau tetap mempertahankan hak kaum wanita. Hakikat yang mereka mempunyai kromosom yang salah, tidak melunturkan semangat mereka menipu semua orang sebaliknya. Ketawa kecil dia memikirkannya.
Nah, semuanya sudah sedia. DVD sudah dipasang, lampu sudah ditutup. Wayang akan bermula. Hanya dia dan fantasi untuk satu setengah jam yang berikutnya.
Pembesar suara berdebar debar. Lampu berkilau menari nari dikanvas putih. Imej terbentuk menceritakan plot nipis dan aksi berlebihan.
Dan kaum Lut menyambut ahli koloni mereka yang terbaru.